.

Wednesday, December 15, 2010

Sejarah Sekolah Kebangsaan Durian Tipus

    Sekolah Kebangsaan Durian Tipus seperti institusi-institusi yang lain membentuk catatan sejarah dan proses perkembangan tersendiri. Atas desakan naluri yang cintakan ilmu pengetahuan maka masyarakat setempat di kawasan Durian Tipus dan sekitarnya telah mengadakan muafakat bagi penubuhan sebuah sekolahdi situ. Pada 28 Disember 1908 terbinalah sebuah sekolah yang diperbuat daripada bahan kayu hutan, papan dan beratapkan nipah hasil gotong-royong masyarakat setempat. Sekolah ini telah diberikan nama Sekolah Melayu Durian Tipus. Inilah sekolah yang pertama dibina di Mukim Teriang Hilir.

    Guru Besar pertama di sekolah ini ialah Encik Itam B Abdullah. Jumlah murid pada ketika itu ialh seramai 34 orang sebagai perintis. Kekurangan dan kelemahan yang wujud ketika itu ternyata tidak melunturkan semangat serta hasrat murni masyarakat untuk menghantar anak-anak mereka menimba ilmu di sekolah ini. Tahun demi tahun , jumlah murid sentiasa bertambah. Kawasan persekitaran sekolah juga mula berubah dengan penerokaan masyarakat termasuk dalam kalangan peniaga bangsa cina. Penerokaan ini secara tidak langsung telah mewujudkan satu pekan kecil yang dinamakan Durian Tipus.

    Reformasi pendidikan negara yang pesat ditingkatkan dari semasa ke semasa telah memberikan pelbagai kemudahan dan kemajuan infrastruktur sekolah serta struktur pentadbiran sekolah. Seterusnya, sekolah ini diubah nama dari Sekolah Melayu Durian Tipus kepada Sekolah Kebangsaan Durian Tipus.

    Tanggal 21 Jun 1985 , bangunan baharu sekolah ini yang terletak kira-kira 750 meter dari tapak bangunan lama telah beroperasi . Kedudukan ini adalah bersebelahan dengan jalan raya yang menghubungkan pekan Simpang Durian ke Simpang Pelangai, Pahang. Sempadan Negeri Sembilan dan Pahang hanya 12km sahaja. Dengan berlatar belakangkan kehidupan masyarakat petani Melayu tradisional, sekolah ini terus menjadi unggul di kaca mata semua pihak.

    Perjuangan murni guru-guru mendidik anak bangsa di sini tidak dapat disangkalkan lagi. Kejayaan demi kejayaan dalam semua bidang telah ditempa dan menjadi kenangan manis bagi warga SKDT. Kini sekolah ini diterajui oleh Tuan Hj Abdul Tahrim B Hj Zakaria sebagai Guru Besar yang ke-35.

1 comment:

  1. Difahamkan ketika usaha pihak sekolah merancang utk mendapatkan tapak baru sekolah sekarang, ada pihak yang tidak bersetuju dan marah dengan usaha tersebut. Etnik cina Durian tipus yg tidak mustahil mempunyai rangkaian dgn kominis ketika itu, telah menghantar ugutan sebungkus kain berisi 3 peluru kpd Guru Besar sekolah waktu itu.

    Catatan lama.

    ReplyDelete